Utama 9 Sejarah

 Sejarah

Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) adalah satu pertubuhan yang bercorak kesukarelawanan untuk membantu pasukan keselamatan dalam gerakan menentang musuh-musuh negara dari dalam dan luar negeri. RELA telah ditubuhkan pada 3 Julai 1972 di bawah ‘Peraturan-peraturan Perlu (Ikatan Relawan Rakyat) 1966, yang dibuat di bawah ‘Akta Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 1964’. Asas wujudnya RELA bermula sejak tahun 1948, apabila Pertubuhan Kawalan Kampung atau “Home Guard” dibentuk semasa darurat pertama berlaku di Persekutuan Tanah Melayu. Pembentukan Home Guard adalah dibawah Ordinan Darurat 1948 dan diletakkan di bawah bidang kuasa Home Guard Regulations 1950 dan 1951.

Dalam pada itu, serangan komunis yang semakin berleluasa sewaktu awal Darurat telah menyebabkan orang awam tampil secara sukarela untuk menyertai Home Guard. Pasukan ini telah dibubarkan pada 1 Julai 1959 berikutan berkurangnya ancaman komunis yang membawa kepada pembubaran pengisytiharan darurat di Tanah Melayu pada 31 Julai 1960. Selepas berlakunya pencerobohan tentera Indonesia pada September 1964, Kerajaan telah menubuhkan Pasukan Kawalan (Vigilante Corps) bagi membolehkan rakyat menjadi ‘mata dan telinga’ Kerajaan. Matlamat penubuhan Pasukan Kawalan ialah bagi mewujudkan satu rangkaian unit-unit kawalan yang meliputi seluruh semenanjung Malaysia bagi mengawal aktviti-aktiviti menyusup masuk anasir subversif dan sabotaj dari Indonesia melalui jalan laut, darat dan udara.

Berikutan dengan keadaan Negara yang bertambah baik, Mesyuarat Jemaah Menteri telah membuat keputusan bagi pembubaran Pasukan Kawalan pada 25 Februari 1967.
Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 adalah rusuhan kaum yang berlaku sebagai kemuncak masalah perpaduan di Malaysia. Tragedi ini yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda dan mempunyai kaitan yang rapat dengan “Pilihan Raya Umum 1969” merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia.

Negara diisytiharkan darurat pada malam 16 Mei 1969 di seluruh negara dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dibentuk di bawah pentadbiran Tun Abdul Razak. Pada 14 Mei 1969 Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah membuat keputusan bagi Pasukan Kawalan dihidupkan semula. Memandangkan keadaan keselamatan negeri telah bertambah baik sejak berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969, sambutan orang ramai terhadap Pasukan Kawalan telah berkurangan.

Melihat kepada kejayaan pasukan home guard dan pasukan kawalan dalam menangani masalah keganasan komunis dan konfrontasi kerajaan Indonesia timbul kesedaran kerajaan perlunya pasukan sukarelawan yang tetap ditubuhkan bagi membantu kerajaan menangani isu-isu keselamatan setempat selepas terjadinya peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Pada 1 Januari 1972 Allahyarham Tun Dr. Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah mengarahkan supaya Pasukan Kawalan ini disusun semula dan diberi corak baru sejajar dengan dasar dan perkembangan negara.

Pada 25 Jun 2012, Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 Akta 752 telah diwartakan sebagai punca kuasa RELA berkuatkuasa pada 22 Jun 2012. Nama Ikatan Relawan Rakyat Malaysia juga telah ditukar kepada Pasukan Sukarelawan Malaysia selaras dengan akta tersebut. Pada 28 Ogos 2013, RELA telah dinaiktaraf menjadi sebuah Jabatan Persekutuan dan dikenali sebagai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Semenjak ianya dinaiktaraf sebagai sebuah Jabatan Persekutuan pada 28 Ogos 2013, RELA kini sedang melalui arus transformasi ke arah sebuah Jabatan yang unggul dan perkasa apabila peranannya tidak lagi hanya dilihat tertumpu kepada situasi darurat atau bidang keselamatan semata-mata, malah menjurus kepada situasi dan kehendak semasa yang meliputi keselamatan, keamanan, kesejahteraan, keharmonian, kesatuan dan perpaduan negara.

Sebahagian daripada anggota Pasukan Pengawal Kampung (Home Guard) Wanita sedang menjalani latihan senjata api di awal tahun 1960.

Pusat Pemeriksaan ‘Home Guard’ di Tanjung Malim, Perak.

Pasukan ‘Home Guard’ di Negeri Selangor sedang mendengar ucapan oleh pemimpin tempatan.

Opening of Home guard Post Bruas by Raja Muda Perak, August 1953