WAJAH BAHARU JABATAN SUKARELAWAN MALAYSIA


SETIA BERBAKTI! Itulah slogan yang dilaungkan oleh sekumpulan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ketika melakukan latihan kawad kaki di Akademi Latihan Rela Malaysia (Alarm) di Sungai Udang, Melaka baru-baru ini.

Antara yang terbabit dalam latihan tersebut ialah Nur Diyana Badrulhisham, 21. Kedatangannya ke kem latihan itu adalah bertujuan untuk mengikuti kursus asas latihan Rela.

Gadis yang berasal dari Ipoh, Perak itu menanam minat untuk menjadi anggota Rela sejak di bangku sekolah lagi.

Ia hasil dorongan daripada bapanya yang telah menyertai Rela sejak 15 tahun lalu.

“Ketika di bangku sekolah, saya menyertai badan beruniform dan amat meminati kawad kaki kerana ia mampu mendisiplinkan diri seseorang. Tambahan pula, saya pernah menjadi pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara di Papar, Sabah selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia.

“Jadi, saya sudah biasa menerima arahan daripada seorang ketua dan tidak menghadapi sebarang masalah ketika mengikut latihan di sini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kem tersebut.

Nur Diyana yang bekerja di sebuah hotel di ibu negara sanggup mengambil cuti tahun untuk menyertai latihan tersebut.

Menurut Komandan Alarm, Abdul Aziz Sidi Ahmad, Rela dahulunya dikenali sebagai Ikatan Relawan Rakyat Malaysia dan Pasukan Sukarelawan Malaysia ialah sebuah persatuan sukarelawan beruniform di Malaysia yang ditugaskan untuk membantu memelihara dan mengekalkan keselamatan negara.

Mengikut sejarah, Rela ditubuhkan pada 11 Januari 1972 bagi menggantikan Home Guard atau pengawal kampung yang fungsinya menjaga keselamatan setempat apabila darurat diisytiharkan pada 1948.

Penubuhan pasukan itu tercetus apabila berlaku insiden rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri mencadangkan penubuhan pasukan sukarelawan untuk menggembleng tenaga rakyat secara sukarela berfungsi sebagai mata dan telinga kerajaan.

Keanggotaan

Sejak itu, keanggotaan Rela seluruh negara menjangkau 3.05 juta dan dijangka bertambah dengan pelbagai program transformasi yang dilaksanakan kerajaan.

Mengulas lanjut mengenai Alarm, Abdul Aziz memberitahu, kem latihan itu mula beroperasi sejak tahun 1999 meskipun ia siap sepenuhnya setahun kemudian.

Katanya, terdapat tiga lagi pusat latihan seumpamanya iaitu di Tuaran, Sabah; Kuala Berang, Terengganu dan di Bukit Selambau, Kedah.

RELA kini turut berperanan membantu agensi penguat kuasa seperti Jabatan Imigresen Malaysia dalam operasi mencegah pendatang asing tanpa izin.

 

Berkeluasan 21.67 hektar, Alarm turut mempunyai kemudahan dan prasarana lengkap seperti pejabat, bilik kuliah, asrama lelaki dan perempuan, dewan makan, padang kawad serta lapang sasar untuk latihan menembak.

Tugas lapangan

Selain itu, Alarm juga mampu menempatkan 150 orang anggota Rela dalam satu-satu masa bagi setiap siri latihan yang dijalankan.

“Setiap tahun, kami menjalankan lebih 10 siri latihan di sini, namun ia bergantung pada keadaan semasa dan peruntukan kewangan.

“Tahun ini, sehingga bulan Ogos sahaja, kami telah melatih seramai 1,300 anggota bagi mengikuti kursus asas latihan Rela,” ujarnya.

Tambah Abdul Aziz, setiap anggota Rela perlu mengikuti kursus pengenalan Rela terlebih dahulu yang diadakan hanya sehari di peringkat daerah, namun jika ingin bertugas di lapangan mereka perlu menyertai kursus asas Rela selama enam hari di Alarm.

“Begitupun, kursus asas Rela ini tidak diwajibkan kepada semua anggota.

“Selain itu, setiap anggota yang menyertai kursus ini, akan diberikan penginapan, makanan dan minuman percuma serta elaun khas sebagai ganti hilang punca pendapatan selama enam hari,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Latihan Rela, Mehat Ahmad berkata, terdapat beberapa modul telah sediakan untuk anggota yang menyertai kursus asas Rela.

“Antaranya, modul pengenalan Rela, asas pertolongan cemas, kuasa orang preman, komunikasi berkesan dan integriti, latihan kawad kaki, latihan penggunaan senjata api dan kawalan premis,” katanya.

Jelas Mehat, Rela juga memperkenalkan pakaian operasi baharu yang berkonsepkan camouflage digital sejak 2013 lagi. Hal ini supaya ia dapat menonjolkan imej baharu pegawai dan anggota Rela itu sendiri.

SEBAHAGIAN anggota Rela yang mengikuti kursus asas latihan Rela di Alarm, Sungai Udang, Melaka baru-baru ini.

 

Faedah

Katanya lagi, perkhidmatan teras Rela juga adalah berlandaskan kepada konsep 5K1P iaitu Keselamatan, Keamanan, Kesejahteraan, Keharmonian, Kesatuan dan Perpaduan.

“Inti pati ini harus dipegang dan disematkan dalam setiap anggota Rela kerana ia lambang ketahanan mental fizikal sesuai dengan konsep 5K1P,” ujarnya.

Selain itu, Mehat memberitahu, antara syarat untuk menjadi ahli Rela, seseorang itu mestilah warganegara Malaysia, berumur 18 hingga 60 tahun dan sihat tubuh badan.

“Antara faedah menjadi anggota Rela ialah caj rawatan dan kemudahan wad percuma bagi anggota-anggota yang terlibat dalam kemalangan ketika bertugas.

“Dalam pada itu, perlindungan insurans juga diberikan sekiranya terlibat dalam kemalangan ketika bertugas.

“Selain itu, mereka juga diberikan latihan percuma di pusat-pusat latihan yang ada, mendapat uniform, elaun latihan dan bertugas RM6 sejam,” ujarnya.

Tambah Mehat, pihaknya kini sedang melaksanakan kursus Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) untuk para pegawai Rela bagi memperkasakan agensi yang menjadi pihak pertama menghadapi bencana.

“Setiap pegawai terlibat akan dinilai dari aspek kesihatan serta kecergasan pada kursus asas dan mereka yang berjaya akan ke tahap latihan seterusnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Mehat berkata, pegawai yang dipilih akan diberikan kursus asas menghadapi bencana dan krisis sebelum dihantar ke pusat latihan Rela bagi meneruskan kursus peringkat satu dan dua.

Katanya lagi, kursus tersebut hanya dilaksanakan di peringkat pegawai kerana mereka akan bertindak sebagai ketua kepada anggota Rela di bawahnya.

“Kini, Rela telah melatih 50 anggota di setiap daerah melibatkan 156 daerah di seluruh negara sebagai pembantu kepada pegawai Rela terbabit dalam setiap bencana atau krisis yang berlaku,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0913&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4sW9IlnT5