Tiga Anggota Rela Dipukul Terima Sijil Kepujian

KUALA LUMPUR – Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) memberikan sijil kepujian kepada tiga anggotanya yang kekal bersikap profesional ketika menjalankan tugas meskipun berdepan dengan situasi tegang.

Ketua Pengarah Rela, Zulkifli Abidin berkata, sikap sabar dan tidak mencetuskan tindak balas wajar dijadikan teladan kepada anggota lain.

 

Menurutnya, walaupun tiga anggota terbabit diugut dan dikasari sehingga menyebabkan kecederaan, mereka masih mengamalkan tahap profesionalisme yang tinggi dan komited dalam melaksanakan khidmatnya.

“Bagi menghargai komitmen dan komited pada tugas, anggota terbabitakan menerima sijil kepujian yang disampaikan saya sendiri, hari ini.

“Saya memuji dan menghargai tindakan tiga anggota kami yang sabar dan profesional ketika bertugas, apatah lagi ketika berdepan konflik sebegitu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, apa yang ditunjukkan mereka membuktikan anggota Rela sentiasa mempraktikkan nilai-nilai murni semasa berkhidmat selain sentiasa mengelak sebarang konfrontasi dengan orang awam.

Katanya, bagaimanapun beliau sedikit kesal kerana insiden ini menunjukkan masih ada segelintir orang awam kurang faham dengan tugas anggota Rela dan berharap perkara sebegini tidak lagi berulang pada masa depan.

Pada 27 Oktober lalu, tiga anggota Rela yang sedang menjalankan tugas kawalan keselamatan bagi upacara keagamaan di Tokong Kou Ong Yah, Kampung Baru Ampang dikasari individu dipercayai bergelar Datuk Seri.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi, salah seorang daripada tiga anggota Rela berkenaan menegur Datuk Seri terbabit kerana memberhentikan kenderaan di hadapan tokong itu sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit. Bagaimanapun, teguran itu menyebabkan anggota terbabit dikatakan dipukul di beberapa bahagian badan.

Susulan daripada insiden itu, anggota berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Ampang dan mendapat rawatan segera di hospital berdekatan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, individu yang dipercayai bergelar Datuk Seri berusia 29 tahun itu telah dikenalpasti dan meminta individu ini untuk tampil menyerah diri bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

 

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/semasa/tiga-anggota-rela-dipukul-terima-sijil-kepujian-1.749715