TAK PERLU MINTA MAAF KERANA BUKAN MENGHINA RELA – PRESIDEN WARISAN

Shafie Apdal: Apa yang berlaku adalah ucapan saya didalam video terbabit telah dipotong serta diedit pihak tertentu dan tidak ditayangkan sepenuhnya mengenai kenyataan sebenar.

 

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak akan meminta maaf terhadap kenyataan kontroversinya berkenaan penugasan Jabatan Relawan Malaysia (RELA) di Sabah yang tular di laman media sosial sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai, baru-baru ini.

Beliau dalam kenyataannya hari berkata, apa yang berlaku adalah hanya mempersoalkan secara logik berhubung penugasan anggota RELA untuk menjaga keselamatan di Kawasan Selamat Khas Pantai Timur Sabah (ESSZONE).

“Takkanlah saya nak minta maaf, saya tidak bersalah, kalau saya bersalah boleh lah saya minta maaf.

” Saya bukannya menghina, mungkin orang beranggapan saya menghina, itu anggapan dia… tetapi my heart (hati) tidak, i cant humiliating my relative, “katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Kota Kinabalu, hari Isnin, bagi memberikan penjelasan berhubung insiden ucapannya mengenai penugasan anggota RELA dalam sebuah program baru-baru ini.

 

Petikan dari Bahagian 752 Akta Pasukan Sukarelawan 2012.

 

Menerusi video yang tular di laman sosial pada 15 Januari lalu, Mohd Shafie ketika berucap dalam program Bicara Presiden Warisan di Tuaran, Sabah, sehari sebelumnya dilihat mempertikaikan tindakan menempatkan anggota Rela yang tidak mahir dalam mengendalikan senjata api untuk penugasan di ESSZONE.

Beliau dilaporkan berucap anggota Rela hanya sesuai untuk perkhidmatan kawalan trafik di majlis-majlis kenduri sahaja.

Menurut Presiden Parti Warisan itu, apa yang berlaku adalah ucapannya didalam video terbabit telah dipotong serta diedit pihak tertentu dan tidak ditayangkan sepenuhnya mengenai kenyataan sebenar.

Sebaliknya, beliau memaksudkan dalam ucapan itu adalah merujuk kepada Akta 752 iaitu Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 dimana penugasan anggota RELA hanya tertakluk kepada membantu pihak berkuasa yang berkaitan mengawal dan mengubah haluan kenderaan motor iaitu trafik selain mengawal kententeraman awam.

“Susulan kejadian terbabit, saya dipanggil oleh polis untuk mengambil keterangan di suatu lokasi di Kota Kinabalu dan proses memberi keterangan itu mengambil masa lebih dua jam pada hari ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu menjelaskan bahawa tindakan meletakkan anggota RELA di kawasan ESSZONE adalah satu langkah tidak relevan memandangkan jabatan terlibat terpaksa berhadapan ancaman daripada pengganas seperti militan Abu Sayaff dan mereka hanya dibekalkan dengan kelengkapan senjata kayu cota sahaja. – Ruzaini Zulkepli/Astro Awani

 

https://www.borneotoday.net/tak-perlu-minta-maaf-kerana-bukan-menghina-rela-presiden-warisan/