Wednesday, 12 December 2018

Solidariti pertahan Baitulmuqaddis

Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan sumbangan Tabung Kemanusiaan Gaza

AHMAD ZAHID HAMIDI menyampaikan sumbangan Tabung Kemanusiaan Gaza kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah Palestinian Cultural Organization Malaysia, Jasmi Johari (tiga dari kiri) dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, semalam. – BERNAMA

PUTRAJAYA 19 Dis. – Semua parti politik diseru mengetepikan perbezaan dan menunjukkan solidariti untuk mempertahankan Baitulmuqaddis menerusi perhimpunan besar-besaran yang akan diadakan di Masjid Putra di sini Jumaat ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perhimpunan tersebut dilihat sebagai satu manifestasi seluruh rakyat Malaysia, parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mempro­mo­sikan keamanan melibatkan isu berkenaan.

“Kita tidak ada hubungan dip­lomatik dengan Israel, (tetapi) kita menghormati hubungan dengan Amerika Syarikat (AS). Namun apabila hak kota suci umat Islam diceroboh dengan hasrat untuk melenyapkan sirah kota suci Islam, Kristian dan agama Yahudi Ortodoks asal, ertinya rejim Israel cuba memadamkan sejarah.

“Justeru, saya menyeru selu­ruh rakyat pelbagai agama, pe­mimpin politik dan NGO untuk ketepikan perbezaan dalam ka­langan kita bagi mempromosikan keamanan dalam perhimpunan solidariti pada Jumaat ini,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Perhimpunan itu akan disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan menyampaikan ucaptama, selain ucapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan wakil NGO Islam.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) turut menyatakan persetujuan untuk menghadiri per­himpunan berkenaan.

Malaysia jelas beliau, walaupun memiliki masyarakat pelbagai kaum, budaya dan agama tidak pernah mempromosikan perbezaan, sebaliknya sentiasa mempertahankan kemajmukan berkenaan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/solidariti-pertahan-baitulmuqaddis-1.576089#ixzz51mznCPVK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Font Resize
Contrast