SOLIDARITI BAITULMAQDIS: KERAJAAN JEMPUT SEMUA PARTI – TPM

Kerajaan menjemput semua parti politik untuk turut serta dalam solidariti membantah tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada Jumaat ini di Masjid Putra.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, perbezaan ideologi politik harus diketepikan dan menyeru semuanya termasuk DAP untuk turut serta dalam solidariti berkenaan.

“Kita menjemput semua speaker dari semua parti politik. Ada enam panel dalam forum selepas solat Jumaat dan saya harap ini bukan forum untuk menunjukkan perbezaan ideologi,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, pada Selasa.

Tambah Zahid lagi, undangan sudah dibuat petang semalam kepada semua parti.

“Selain itu, pada mesyuarat pada Rabu lalu saya telah meminta pandangan daripada presiden setiap parti komponen BN  yang duduk di kabinet dan mereka bersetuju untuk menghadiri perhimpunan solidariti berkenaan yang bermula jam 12 tengah hari,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata khutbah yang disampaikan pada hari berkenaan adalah khusus mengenai Baitulmaqdis dan solat hajat bersama bakal berlangsung.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta wakil NGO Islam juga dijadualkan berucap diikuti ucaptama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Setakat hari ini kita dapat laporan seramai 10,000 orang akan hadir pada hari tersebut dan berkemungkinan akan bertambah lagi, ” jelasnya.

SOLIDARITI BAITULMAQDIS: KERAJAAN JEMPUT SEMUA PARTI – TPM