Thursday, 19 September 2019

Shafie enggan mohon maaf

Shafie enggan mohon maaf
Shafie (tengah) ketika ditemui di kediamannya hari ini.

KOTA KINABALU – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal enggan memohon maaf berikutan tindakannya yang dikatakan menghina keupayaan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) menjaga kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Beliau menyifatkan bahawa kenyataan yang dikeluarkan itu bukan berunsurkan penghinaan tetapi berdasarkan fakta yang termaktub dalam Akta 752 Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012.

“Benar, inisiatif meletakkan anggota Rela di kawasan Esszone tidak salah tetapi tindakan itu tidak selari dengan keupayaan mereka.

“Seperti yang kita sedia maklum pasukan ini tidak mempunyai kepakaran dan latihan khusus serta peralatan yang sesuai untuk berdepan ancaman pengganas apatah lagi ditempatkan bertugas di kawasan ‘panas’ Esszone,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini hari ini.

Terdahulu, sebelum pertemuan bersama pihak media, Ahli Parlimen Semporna itu dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis berhubung rakaman video ucapannya pada program Bicara Presiden Warisan di Tuaran yang tular dalam laman sosial baru-baru ini.

Menerusi video berkenaan, Shafie bukan sahaja mempersoalkan kewibawaan Rela ditugaskan memantau keselamatan di kawasan Esszone malah turut menyifatkan pasukan terbabit hanya sesuai mengawal laluan trafik di kenduri. – K! ONLINE

http://www.kosmo.com.my/negara/shafie-enggan-mohon-maaf-1.595091