Shafie Apdal akan terima padah hina peranan RELA…

Bak kata pepatah Melayu, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa!

Inilah nasib yang bakal dihadapi oleh Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal kerana menghina dan memperlekeh peranan anggota RELA yang ditugaskan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

“Shafie Afdal tidak akan mendapat sokongan daripada 3 juta ahli RELA yang berasa tersinggung kerana kenyataan beliau.

“Nampaknya beliau seorang pemimpin yang tidak mementingkan hati rakyat dan tidak bersimpati dengan pengorbanan yang dibuat oleh anggota RELA yang membuat kerja mereka secara sukarela,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Kesyukuran RELA yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Putrajaya, Rabu.

Dalam video ketika berucap dalam Program Bicara Presiden Warisan di Tuaran, yang tular sejak kelmarin, Shafie telah mempertikaikan tindakan menempatkan anggota RELA yang tidak mahir mengendalikan senjata api untuk penugasan di ESSZone.

Shafie turut berkata bahawa anggota RELA hanya sesuai untuk perkhidmatan kawalan trafik di majlis kenduri saja.

Nur Jazlan berkata, anggota RELA yang ditempatkan di ESSZone tidak diletakkan dalam keadaan yang berisiko kepada mereka.

Katanya, mereka juga tidak diletakkan dalam apa-apa operasi strategik, taktikal ataupun operasi di barisan hadapan. Selain itu mereka diberikan latihan secukupnya yang relevan dengan tugas.

Menurut Jazlan lagi, semua aktiviti penguatkuasaan akan dilakukan bersama-sama dengan pihak polis.

Nur Jazlan turut menyangkal kenyataan Shafie kononnya peruntukan yang diberi kepada RELA adalah hasil daripada pendedahan beliau.

“Ini tidak benar sama sekali kerana peruntukan untuk RELA sebanyak RM6 juta itu telah diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah pada 11 Februari 2017, iaitu pada Hari Rela ke-45 di Kota Kinabalu.

“Peruntukan itu telahpun diagihkan pada 2017 sebanyak RM3 juta dan baki RM3juta akan diberikan tahun ini. Jadi kenyataan Shafie Afdal betul-betul tidak bertanggungjawab dan tidak benar samasekali,” katanya.

Menurut kenyataan media RELA, mesyuarat Lembaga Penasihat ESSZone pada 29 September 2017 telah meluluskan pembabitan anggota RELA dalam membantu menjaga keselamatan di 10 daerah kawasan ESSZone.

Anggota RELA yang dipilih adalah di kalangan penduduk tempatan yang telah melalui Kursus Asas RELA dan Kursus Khas Penugasan ESSZone yang dikendalikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan Kawasan Keselamatan Khas ESSZone.- 24/1/2018- OLEH NOOR HASILAH ISMAIL

http://www.agendadaily.com/Muka-Hadapan/shafie-apdal-akan-terima-padah-hina-peranan-rela%E2%80%A6.html