‘RELA tak bertugas hanya kerana bayaran’

 

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan mengecam penamatan penugasan berbayar anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di pusat khidmat komunitinya.

Jelas Mohamad, anggota RELA bertugas bukan semata-mata kerana bayaran tapi juga atas dasar untuk memberi perkhidmatan.

“Kerja yang dibuat oleh RELA bukan semata-mata bayaran tersebut tetapi memberikan perkhidmatan kepada apa jua majlis dan program untuk mengawal lalu lintas serta menyusun atur program supaya ketenteraman dijaga.

“Saya tidak tahu apa maksud dan hikmah yang dibuat oleh mereka (kerajaan) untuk menamatkan perkhidmatan berbayar RELA di majlis rakyat,” katanya pada sidang media di pejabat Umno Bahagian Kota Raja hari ini.

Mohamad berkata demikian sebagai mengulas berhubung laporan mengenai penamatan penugasan berbayar anggota RELA di pusat khidmat komuniti di seluruh negara.

Tambah Mohamad, tindakan penamatan yang dibuat “tanpa berfikir panjang” itu bagaimanapun akan tetap menjejaskan pendapatan anggota RELA.

“Ini satu perkara yang dibuat tanpa berfikir panjang dan saya berharap kementerian, ketua-ketua jabatan dan menteri yang baru dilantik fikir sedalam-dalamnya jika mahu membuat apa-apa keputusan.

“Langkah ini merupakan satu punca kehilangan pendapatan dan menyusahkan orang ramai,” katanya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan penugasan berbayar anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di 98 pusat Khidmat Komuniti RELA (PKKR) ditamatkan berkuat kuasa 1 September depan.

Laporan itu berdasarkan surat kepada pengarah-pengarah RELA yang dilihat Malaysiakini.

Kenyataan dalam surat itu bagaimanapun menyebut tiada halangan dikenakan kepada anggota RELA yang tetap mahu terlibat dalam kawalan keselamatan secara sukarelawan tanpa elaun.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata perkara itu adalah satu tamparan kepada anggota RELA.

“Jangan disebabkan oleh sikap angkuh, kita lihat semua perkara yang dilakukan oleh kerajaan BN adalah tidak betul.

“Tidak semua yang dibuat oleh kerajaan terdahulu tidak baik kerana BN sudah mentadbir negara ini selama 60 tahun.

“Kita dapat bangunkan negara ini dengan baik sekali dan jika kita merupakan kerajaan yang dikatakan rasuah di dunia, kita tidak dapat membangunkan negara seperti apa yang ada hari ini,” katanya.

https://www.malaysiakini.com/news/437110