Rela sahkan penamatan penugasan kawalan

Rela sahkan penamatan penugasan kawalan

 

PUTRAJAYA – Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengesahkan penamatan penugasan kawalan keselamatan di Pusat-Pusat Khidmat Komuniti Rela (PKKR) di seluruh negara.

Ia berikutan selepas penilaian semula terhadap semua penugasan jabatan dilaksanakan pada pertengahan tahun.

Rela dalam kenyataannya berkata, penilaian itu merangkumi aspek keperluan penugasan dan kedudukan kewangan semasa jabatan.

“Surat yang menjadi tular di media sosial adalah mengenai penamatan Penugasan Kawalan Keselamatan PKKR dan bukannya pemotongan elaun kepada semua ahli Rela,” katanya.

Menurutnya, penamatan penugasan rondaan PKKR ini tidak melibatkan penugasan lain yang masih berjalan seperti biasa.

“Ia juga tidak menjejaskan operasi PKKR seperti sediakala,” katanya.

Penugasan rondaan keselamatan tersebut telah diwujudkan sejak Januari 2017 untuk membantu memelihara keselamatan setempat.

Ia melibatkan tugasan rondaan dan bersifat sementara.

Penugasan itu telah dilaksanakan di 98 PKKR seluruh negara melibatkan seramai 294 anggota yang dibayar elaun bertugas.

“Bermula Januari 2018, Jabatan telah melaksanakan rondaan keselamatan secara sukarela di 157 daerah seluruh negara bermula Januari 2018.

“Rondaan secara sukarela ini selaras dengan hasrat Jabatan untuk menghidupkan semula semangat kesukarelaan di kalangan anggota,” katanya.