RELA nafi anugerahkan pangkat kehormat

PUTRAJAYA: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menafikan akan menganugerahkan pangkat kehormat jabatan itu kepada Datuk Seri Liow Soon Hee, individu yang didakwa memukul tiga anggota RELA dalam kejadian pada Oktober tahun lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, RELA berkata, pihaknya memandang serius dakwaan lelaki itu seperti dipaparkan dalam video berdurasi lebih kurang empat minit yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.

Menurutnya, dalam video berkenaan, lelaki berkenaan mendakwa akan dianugerahkan pangkat kehormat RELA oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Menerusi video sama, lelaki itu mendakwa adik kepada Timbalan Perdana Menteri meminta abangnya (Ahmad Zahid) untuk memberinya pangkat bagi mengetuai RELA,” katanya.

Sebelum ini, lelaki berkenaan ditahan polis pada 31 Oktober 2017 kerana didakwa memukul tiga anggota RELA yang sedang bertugas di sebuah tokong di Ampang.

Lelaki itu kini didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 186, Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 353, Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas.