Rela kerah 7,850 anggota bantu mangsa banjir

Rela kerah 7,850 anggota bantu mangsa banjir

KEMAMAN – Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengerahkan seramai 7,850 anggotanya untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara sejak 16 November lalu.

Ketua Pengarahnya, Zulkifli Abidin berkata, jumlah itu akan ditambah jika keadaan banjir bertukar lebih buruk.

Menurutnya, jumlah 7,850 keanggotaan itu mewakili 50 anggota di setiap daerah yang akan melakukan tugas pemantauan paras air dan tugas pasca banjir.

ÔÇťApabila berlaku banjir, anggota Rela terbabit akan melaporkan kepada pihak berwajib untuk pastikan tindakan dapat dilakukan segera oleh pasukan berwajib. Mereka  bantu proses pemindahan mangsa banjir dan turut bertugas di pusat pemindahan sementara.

“Di pusat pemindahan itu, anggota Rela membantu melakukan kerja-kerja memasak, mengagihkan makan dan melakukan kawalan keselamatan dan tugas akan diteruskan dengan membantu mangsa banjir membersihkan rumah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau seramai 50 anggota Rela Daerah Kemaman membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Batu 14, Jalan Air Putih di sini, hari ini.

Kerja pembersihan itu diketuai Pegawai Rela Daerah Kemaman, Wan Mohd Apandi Wan Ismail di rumah didiami Zainun Ismail, 57, bersama tujuh anak dan suaminya, Mazlan Ibrahim, 60, yang terlantar sakit.

Zulkifli berkata, Rela yang turut membantu kerja pasca banjir berdasarkan pengalaman lepas itu mempunyai 3.08 juta anggota seluruh negara dan daripada jumlah itu seramai 150,000 anggota boleh digerakkan dalam tempoh empat jam.

“Mengikut pengalaman lalu, lepas banjir lagi berat tugasnya kerana perlu tempat terjejas seperti rumah, tempat ibadat dan tempat awam perlu dibersihkan.

“Jadi kita bantu ringankan beban mangsa banjir semasa mereka pulang semula ke rumah. Bila pulang ke rumah dan lihat rumah kotor memang mereka sangat perlukan bantuan,” katanya.http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/rela-kerah-7-850-anggota-bantu-mangsa-banjir-1.915869#.XBTsfKx8qQh.whatsapp