Rela hasrat perluas Briged RELASIS di IPT

JASIN, 28 Sept — Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berhasrat memperluaskan pasukan Briged Rela Siswa Siswi (RELASIS) di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta seluruh negara dalam usaha meningkatkan lagi gelombang kesukarelawan dalam kalangan pelajar.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Jamil Rakon berkata pihaknya turut menyasarkan penambahan lebih ramai penyertaan keanggotaan dalam briged itu yang sehingga kini mempunyai kekuatan seramai 21,067 orang.

Beliau berkata sejak awal penubuhan pada 2010 sehingga kini, ada 28 Briged RELASIS di seluruh negara iaitu 24 di politeknik, selain hanya dua di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) dan satu di insititut latihan perindustrian (ILP).

“Setakat ini hanya politeknik yang memberikan komitmen tinggi serta kerjasama positif dengan penubuhan briged berkenaan dan kita berharap aktiviti kesukarelawan ini dapat dikembangkan lagi di institusi-institusi lain yang memerlukan perkhidmatan sedemikian.

“Ini merupakan platform awal bagi golongan belia menceburkan diri dalam unit beruniform selain dilatih dan dididik mengenai konsep kesukarelawan melalui aktiviti kemasyarakatan di samping menanam semangat patriotisme serta jati diri tinggi dalam kalangan masyarakat majmuk,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pentaulihan Briged RELASIS 2019, di Politeknik Merlimau, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah RELA Zulkifli Abidin dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Mohammad Naim Yaakub.

Pada majlis itu, seramai 272 orang pelatih Briged RELASIS seluruh negara menerima tauliah selain pemakaian pangkat bersekutu kepada 36 orang penerima dan dua penganugerahan pingat Am RELA.

Mengulas lanjut, beliau berkata sempena pembentangan belanjawan 2020 bulan depan, pihak RELA berharap pihak kerajaan mempertimbangkan tuntutan bagi tahun depan untuk menjalankan program yang dirancang.

“Pada tahun ini, RELA menerima penambahan bajet RM12 juta dan berapa jumlah yang akan disalurkan tahun depan bergantung kepada kerajaan supaya kita dapat melaksanakan aktiviti-aktiviti termasuklah program Briged RELASIS selain menambah baik infrastruktur serta kemudahan yang ada,” katanya.

— BERNAMA

http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1772650