Pusat jejak, pintas mesej keganasan beroperasi – Zahid

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang selepas menghadiri majlis kesyukuran RELA Malaysia di Putrajaya. – Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Pusat Digital Serantau Memintas Komunikasi (CMC) sudah beroperasi sepenuhnya sejak sebulan lalu bagi menjejak dan bertindak ke atas mesej berunsur keganasan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata CMC yang diselia Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan koordinasi dengan Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) di bawah Kementerian Luar.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kemudahan itu bagi mengesan suspek yang terbabit dalam aktiviti keganasan, selain akan turut bekerjasama dengan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP).

“Kita tidak bergerak dan beroperasi sendiri tetapi secara koordinasi kerana koordinasi ini amat penting.

“Semua maklumat bukan hanya disalurkan kepada ASEANAPOL (Polis Asean) tetapi juga INTERPOL (Polis Antarabangsa) supaya senarai suspek atau data yang diperoleh, digunakan untuk kesiapsiagaan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Kenduri Rakyat Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, dua Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Masir Kujat; Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Alwi Ibrahim; Ketua Pengarah RELA, Zulkifli Abidin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Ahmad Zahid amat berpuas hati dengan perjalanan CMC yang mampu memperkukuhkan sistem keselamatan sedia ada dan terbukti apabila berjaya membawa kepada penangkapan suspek sebelum ini.

“Kita mempunyai kepakaran yang kukuh dalam CMC. Pemantauan kepada semua maklumat yang diperoleh sedang dan akan terus dijalankan bagi menentukan tiada unsur keganasan, radikalisme atau militan di negara kita,” katanya.