Monday, 24 September 2018

Pukul: Rela tolak pampasan Datuk Seri

TERTUDUH, Datuk Seri Liow Soon Hee (kanan), bersama peguamnya, hadir di mahkamah bagi mendengar kepu

 

KUALA LUMPUR 14 Ogos – “Pihak kami akan tetap dengan keputusan untuk tidak sama sekali menerima sebarang ganti rugi yang ditawarkan oleh Datuk Seri tersebut memandangkan kes ini melibatkan maruah anggota yang bertugas.

“Kita mohon kes ini dibicarakan supaya ia menjadi satu pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh malah kepada masyarakat supaya lebih menghormati anggota penguat kuasa yang bertugas di lapangan,” kata Ketua Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Zulkifli Abidin.

Itulah antara kata-kata Zulkifli ketika ditemui pihak media selepas Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini diberitahu bahawa permohonan pembayaran pampasan oleh ahli perniagaan, Datuk Seri Liow Soon Hee yang didakwa menyerang dan mencederakan tiga anggota Rela di sebuah tokong tahun lalu telah ditolak oleh mangsa.

Peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Soon Hee memberitahu Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali, pihaknya telah mendapat jawapan daripada Rela bahawa mereka tidak berminat menerima pampasan serta sebarang tawaran dan hal ini telah dimaklumkan ke Jabatan Peguam Negara.

Datuk Micheal Wong yang hadir selaku peguam pemerhati bagi pihak Rela mengesahkan perkara tersebut. Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim.

Mahkamah kemudian menetapkan 5,6 dan 7 September ini bagi perbicaraan kes.

Soon Hee, 30, sebelum ini pernah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi menggugurkan kes itu namun telah ditolak.

Pada 4 November tahun lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu menyebabkan cedera parah, menyerang penjawat awam dan mencederakan tiga anggota Rela yang sedang bertugas di pekarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, dekat sini kira-kira pukul 6.30 pagi, 27 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Rajpal yang turut ditemui oleh pemberita selepas prosiding telah mempersoalkan kehadiran Zulkifli di mahkamah sehingga pihak media memberi perhatian kepada Rela.

“Media perlu adil. Ya betul pihak kami menawarkan pampasan tetapi itu tidak bermakna pihak Rela tidak bersalah, jangan dengar dari sebelah pihak,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/pukul-rela-tolak-pampasan-datuk-seri-1.728813#ixzz5OgdZ8os6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Font Resize
Contrast