Presiden WARISAN ‘tempah maut’ kerana kritik RELA

Presiden WARISAN ‘tempah maut’ kerana kritik RELA

Ini kerana Presiden parti Warisan Sabah (WARISAN) itu telah menghina anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, keceluparan bekas menteri kabinet itu memperlekehkan peranan anggota keselamatan itu di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone) turut menyinggung perasaan lebih tiga juta anggota RELA di seluruh negara.

“Shafie Apdal tidak akan mendapat sokongan daripada tiga juta ahli RELA yang berasa tersinggung kerana kenyataan beliau.

“Tak payah lagi kita nak hukum dia lebih lagi, yang penting beliau (Mohd. Shafie) nampaknya pemimpin tidak mementingkan hati rakyat.

“Beliau juga tidak bersimpati dengan pengorbanan dibuat oleh anggota RELA, membuat kerja mereka secara sukarela,” katanya pada sidang media selepas Majlis Kesyukuran Rela di Auditorium Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Dalam video berdurasi 21 saat yang viral pada 15 Januari lalu, Mohd. Shafie ketika berucap dalam Program Bicara Presiden Warisan di Tuaran dilihat mempertikaikan tindakan menempatkan anggota RELAa yang tidak mahir mengendalikan senjata api untuk penugasan di ESSZone.

Beliau berkata, anggota RELA hanya sesuai untuk perkhidmatan kawalan trafik pada majlis kenduri sahaja.

Dalam pada itu, Nur Jazlan juga menafikan dakwaan anggota Rela ditugaskan di kawasan berisiko tinggi itu sedangkan mereka hanya membantu anggota keselamatan lain di barisan belakang sahaja.

“Mereka tidak diletakkan dalam apa-apa operasi strategik, taktikal atau operasi di barisan hadapan. Mereka hanya di barisan belakang sebagai benteng kedua untuk memastikan bahawa barisan hadapan itu adalah selamat, jadi mereka tidak berdepan bahaya,” jelasnya.

Beliau menegaskan, setiap anggota RELA diberi latihan secukupnya dan relevan dengan tugas yang dilakukan sebelum ditugaskan dengan pasukan keselamatan lain.

Tambahnya, dakwaan Mohd. Shafie peruntukan RM3 juta yang diterima pasukan keselamatan itu juga tidak berasas.

“Peruntukan untuk Rela sebanyak RM6 juta itu telah diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah, pada 11 Februari 2017, iaitu pada Hari RELA ke-45, di Kota Kinabalu.

“Peruntukan tersebut telahpun diagihkan pada 2017 sebanyak RM3 juta dan pada 2018 baki RM3 juta itu akan dikeluarkan kepada RELA. Jadi kenyataan Datuk Seri Shafie Apdal betul-betul tidak bertanggungjawab dan tidak benar sama sekali,” katanya. -theRakyat

Presiden WARISAN ‘tempah maut’ kerana kritik RELA