Sunday, 22 September 2019

PEGAWAI RELA DILATIH TANGANI KRISIS, BENCANA

MELAKA 20 Mei – Kira-kira 30 pegawai Rela di setiap zon di negara ini akan dilatih mengikuti kursus asas pasukan pengurusan krisis (CMT) bagi melahirkan pegawai berkepakaran dalam menangani krisis dan bencana.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Rela, Kamarudin Mohd. Rapig berkata, para pegawai yang terlibat terdiri daripada pegawai Rela yang berkhidmat di zon selatan, zon utara, zon timur, Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, terdapat tiga peringkat latihan yang perlu dijalani oleh para pegawai terlibat sepanjang tahun ini.

“Kita mahu ada satu pasukan dalam kalangan pegawai yang akan menjadi pakar dalam pelbagai bidang. Kita tak buat dalam kalangan anggota kerana mereka silih berganti, malah pelantikan untuk CMT adalah dalam kalangan mereka yang berusia 18 hingga 40 tahun.

“Kalau kita lantik dalam kalangan anggota kita perlu melatih sampai usia 50 tahun sebab itu kita fokuskan kepada para pegawai terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar pada majlis penutupan Kursus Asas CMT Pegawai Rela di Akademi Latihan Rela Malaysia, Sungai Udang di sini hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 30 pegawai berjaya menamatkan latihan Kursus Asas CMT yang dijalankan selama lapan hari.

Kata Kamarudin, sebelum ini pihaknya telah mewujudkan pasukan CMT dalam kalangan anggota terpilih terdiri daripada 50 anggota di semua 156 daerah di negara ini.

Katanya, kursus CMT yang diberikan kepada pegawai dan anggota Rela terlibat adalah berbeza dari segi modul dan latihan.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pegawai-rela-dilatih-tangani-krisis-bencana-1.332567#sthash.rsXCPpMb.dpuf