Pangkat Kehormat: Rela tidak pernah kenakan bayaran…

Rela
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Rela Kamarudin Mohd Rapig (tengah) beramah bermesra dengan penerima sijil watikah pelantikan Pesuruhjaya Rela (Bersekutu) Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof (dua, kanan) pada majlis Pemakaian Pangkat Bersekutu Rela Negeri Perak dan Pulau Pinang di Ibu Pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) Meru hari ini. – Foto Bernama

IPOH – Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) tidak pernah mengenakan bayaran kepada penerima pangkat kehormat jabatan itu, sebaliknya ia dianugerahkan secara percuma berdasarkan kelayakan dan prosedur tertentu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Rela, Kamarudin Mohd Rapig berkata, individu terpilih untuk menerima pangkat berkenaan perlu terlebih dahulu menjadi pegawai Rela di peringkat daerah, negeri dan peringkat nasional.

“Pemakaian pangkat ini adalah secara percuma dan individu dilantik berdasarkan kelayakan,” katanya pada sidang media selepas majlis pemakaian pangkat bersekutu Rela peringkat negeri Perak dan Pulau Pinang, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles merupakan antara 14 individu yang menerima pangkat Pesuruhjaya Bersekutu Rela.

Tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Rela telah mengesan seorang individu menjual pangkat kehormat Rela dengan harga antara RM10,000 hingga RM30,000.

Kamarudin berkata, individu berkenaan telah digantung keahliannya dan polis masih menjalankan siasatan lanjut.

Sementara itu, Akmar Hisham berkata beliau akan menggunakan pengalaman serta sumbangannya sebelum ini dalam membantu Rela untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai pasukan sukarelawan itu.

“Saya berasa terharu dan bangga telah dilantik sebagai pesuruhjaya, mungkin pemilihan saya ini dibuat berdasarkan pengalaman dan sumbangan saya sebelum ini yang aktif dalam kegiatan kesukarelawanan,” katanya. – Bernama

 

http://www.sinarharian.com.my/mobile/semasa/pangkat-kehormat-rela-tidak-pernah-kenakan-bayaran-1.794174