OPS GEMPUR AADK TAHAN 40 PENAGIH

JERANTUT: Seramai 40 penagih dadah termasuk dua wanita berusia 17 hingga 51 tahun di tiga FELDA di daerah ini, ditahan dalam operasi Ops Gempur Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah, tengah malam tadi.

Operasi enam jam bermula 12 tengah malam hingga jam 6 pagi tadi, disertai 61 orang termasuk anggota AADK dan RELA di tiga tanah rancangan iaitu FELDA Kota Gelanggi, FELDA Sungai Rentang dan FELDA Padang Piol.

Pengarah AADK Pahang, Abdul Ghani Abdul Rahman, berkata operasi itu turut merampas sejumlah 15 gram dadah dan peralatan yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM4,000.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 8 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Di Jerantut sahaja terdapat seramai 810 bekas penagih di bawah pengawasan AADK dengan 60 peratus daripadanya berumur 20 hingga 40 tahun.

“Kuantan adalah daerah tertinggi bilangan individu terbabit dalam aktiviti penagihan dadah diikuti Jerantut dan Temerloh,” katanya ditemui selepas operasi berkenaan, di sini, hari ini.

Abdul Ghani berkata, pihaknya juga akan melakukan operasi sama di kawasan FELDA lain di negeri ini serta perkampungan nelayan bagi membanteras kegiatan penagihan dadah di situ.