Mereka umpama nila yang merosakkan susu

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi amarannya untuk tidak sesekali berkompromi dengan mana-mana anggota dan kakitangan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bersekongkol dengan sindiket luar sehingga berlaku aktiviti pembolosan migran Bangladesh ke negara ini.

Menurutnya, beliau tidak menyalahkan pihak luar dalam hal berkenaan sebaliknya meletakkan kesalahan itu kepada kakitangan dan anggota jabatan yang bekerjasama dengan sindiket luar dalam melancarkan aktiviti berkenaan.

“Kita tidak salahkan pihak luar dalam hal ini tapi kita harus salahkan ‘nila yang menukar warna susu sebelaga’ dalam kalangan kita.

“Apa yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tentunya merosakkan imej jabatan itu sendiri dan kita di Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya, hari ini.

Katanya, demi menjaga tembolok dan perut, anggota berkenaan sanggup mengenepikan undang-undang sedia ada dan akhirnya merosakkan imej jabatan dan kementerian seluruhnya.

Ahmad Zahid berkata, beliau secara peribadi tidak akan berkompromi dalam soal pelanggaran undang-undang apatah lagi merosakkan imej jabatan dan kementerian dengan perbuatan di luar batas dan norma perundangan.

“Biarpun sudah banyak kejayaan dicapai KDN menerusi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan pendekatan yang dilaksanakan namun, kita tidak harus mempunyai ‘denial syndrom’ (sindrom penafian).

“Kita akui kegagalan kita dalam soal berkenaan. Kita akui ada permasalahan dalaman dan kita juga bukan mahu menjadi seorang yang perfectionist (sempurna),” katanya.

Katanya, aset dan sistem yang canggih bukan menjadi penentuan tidak berlakunya pembolosan selagi manusia yang mengendalikan aset dan sistem berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, letakkan aset dan sistem tercanggih di dunia sekali pun, jika tiada sifat kejujuran pasti peraturan yang ditetapkan akan dilanggar.

Harian Metro sebelum ini mendedahkan berlaku aktiviti penyeludupan masuk migran Bangladesh di KLIA, Sepang menerusi Op Pintas KLIA yang dilancarkan Bahagian Anti Pemerdagangan dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) D7C Bukit Aman selepas risikan hampir tujuh bulan dilakukan bersama Skuad Khas HM.

Laporan eksklusif Harian Metro sejak 7 Disember lalu mendedahkan sindiket dikuasai warga Bangladesh memperoleh RM5.2 juta setahun, hasil aktiviti menyeludup rakan senegara melalui KLIA.

Sindiket terbabit dikatakan mengenakan bayaran antara RM15,000 dan RM20,000 setiap seorang termasuk wang ‘pelincir’ kepada beberapa pihak berkuasa terutama anggota dan pegawai JIM serta pegawai Kedutaan Malaysia di Dhaka.

Setakat ini, 11 ahli sindiket termasuk empat warga tempatan ditahan bersama 33 warga Bangladesh yang berjaya diseludup di KLIA termasuk anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Dalam pada itu, Ahmad Zahid dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, kira-kira 40 peratus daripada 1,500 kakitangan JIM yang bertugas di KLIA sudah dan dalam perancangan untuk dipindahkan termasuk mereka yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan masuk migran Bangladesh.

http://www1.hmetro.com.my/utama/2017/12/294991/mereka-umpama-nila-yang-merosakkan-susu