Lelaki ugut anggota Rela kena tahan

Rakaman visual seorang lelaki didakwa mengugut seorang anggota Rela di Jonker Walk di sini sehingga

MELAKA TENGAH – Polis Melaka menahan seorang peniaga berusia 42 tahun, bagi membantu siasatan berhubung kes mengugut seorang anggota Rela di Jonker Walk di sini, yang rakaman kejadian itu tular dalam media sosial sejak Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, lelaki terbabit ditahan di hadapan sebuah bengkel di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam pada jam 3 petang, tidak sampai 24 jam selepas kejadian tersebut berlaku.

Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 6.45 petang, ketika mangsa sedang bertugas di kawasan Jonker Walk dan telah mengarahkan sebuah kenderaan jenis Subaru XV hitam dipandu lelaki berkenaan dalam keadaan melawan arus supaya berpatah balik.

“Pemandu kenderaan tersebut sebaliknya memandu laju ke arah anggota Rela sebelum keluar (dari kenderaan) membawa sebatang kayu.

“Suspek mengugut untuk memukul mangsa dan memberitahu akan membawa rakan untuk memukul anggota berusia 33 tahun itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Mohd Nor Yhazid, kejadian tersebut bagaimanapun dileraikan oleh orang awam.

Selain tangkapan, polis turut merampas sebatang rotan panjang untuk tujuan siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.