Ketepikan perbezaan, memanifestasikan solidariti

Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta rakyat pelbagai kaum, parti  politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  mengetepikan perbezaan dan memanifestasikan solidariti mempertahankan Baitulmuqaddis dalam perhimpunan besar-besaran di Masjid Putra, di sini Jumaat ini.

Beliau berkata perhimpunan itu dilihat sebagai  pentas rakyat Malaysia untuk mempromosikan keamanan dan memperjuangkan Baitulmuqaddis.

“Kita tiada hubungan diplomatik dengan Israel tetapi kita menghormati hubungan dengan Amerika Syarikat.

“Namun apabila hak kota suci umat Islam diceroboh dengan hasrat untuk melenyapkan sirah kota suci Islam, Kristian dan agama Yahudi Orthodox asal ertinya rejim Israel cuba memadamkan sejarah.

“Sehubungan itu, saya meminta seluruh rakyat Malaysia, pemimpin politik dan NGO mengetepikan perbezaan dan bersolidariti  pada Jumaat ini,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, kira-kira 10,000 orang dijangka hadir pada perhimpunan bagi membantah tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur perhimpunan itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadualkan hadir dan berucap pada perhimpunan itu.

Selain itu, beliau  sebagai pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) turut menyatakan persetujuan untuk menghadiri perhimpunan berkenaan.

“Sehingga semalam, seramai 10,000 dijangka menghadiri perhimpunan berkenaan. Saya berharap jumlah ini akan terus bertambah  untuk memberi dukungan dan sokongan kepada rakyat Palestin,” katanya.

Ahmad Zahid  berkata program akan bermula  pada jam 12 tengah hari dengan forum yang akan disertai enam panel jemputan terdiri daripada pelbagai parti politik, diikuti khutbah Jumaat yang akan disampaikan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr  Zulkifli Mohamad al-Bakri dan disusuli solat Jumaat serta solat hajat untuk Baitulmuqaddis.

“Saya harap ini tidak dijadikan forum untuk menyuarakan perbezaan mereka, sebaliknya untuk menunjukkan manifestasi solidariti dan mengetepikan perbezaan politik,” katanya. – Bernama

http://www.sinarharian.com.my/nasional/ketepikan-perbezaan-memanifestasikan-solidariti-1.772243