Kerajaan tubuh pasukan khas tambah baik pengurusan senjata api Rela – TPM Zahid

                                                     Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata antaranya termasuk menubuhkan pasukan

                                                     petugas khas bagi menambah baik pengurusan prosedur operasi standard (SOP)

                                                      senjata api Rela.

MELAKA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggariskan lima langkah awal susulan kehilangan 26 senjata api milik pasukan Rela daerah Selama, Perak awal bulan ini.

Perkara itu terbongkar selepas Unit Penguatkuasa Lesen Senjata Api Agensi Kerajaan, Urus Setia Ketua Polis Negara (Lesen Senjata Api) Bukit Aman melakukan pemeriksaan dan audit di Pusat Latihan Rela, Wilayah Utara (PLRWU) di Sungai Petani, Kedah.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata antaranya termasuk menubuhkan pasukan petugas khas bagi menambah baik pengurusan prosedur operasi standard (SOP) senjata api Rela.

Antara lain, menurut Datuk Seri Ahmad Zahid, satu pasukan naziran senjata api di pejabat Rela peringkat negeri dan di pusat latihan akan turut ditubuhkan selain menambah baik tata cara pengeluaran senjata.

Jelasnya, bagi jangka masa panjang, pihaknya turut menyusun penambahbaikan stor penyimpanan senjata api, peningkatan kemahiran pasukan Rela, dan mewujudkan jawatan pegawai menjaga senjata.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata kerajaan akan mengambil tindakan sekiranya terdapat individu termasuk ketua jabatan yang melindungi pegawai dipercayai terbabit dalam aktiviti jual beli senjata api milik pasukan Rela di Selama, Perak.

Ujar beliau, berdasarkan pemeriksaan dan audit oleh pihaknya, didapati berlaku penyelewengan membabitkan pegawai di jabatan berkenaan yang dikesan melakukan aktiviti jual beli senjata api sejak tahun 2012.

Jelasnya, sekiranya ada yang melindungi mereka, pihaknya tidak akan berkompromi dan individu terbabit bakal berdepan tindakan.

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-tubuh-pasukan-khas-tambah-baik-pengurusan-senjata-api-rela-tpm-zahid-13686