KENYATAAN MEDIA MENGENAI PROFESIONALISME ANGGOTA RELA YANG DIPUKUL SEMASA BERTUGAS DIHARGAI

KENYATAAN MEDIA MENGENAI

PROFESIONALISME ANGGOTA RELA YANG DIPUKUL

SEMASA BERTUGAS DIHARGAI

30 OKTOBER 2017

 

 

KUALA LUMPUR, 30 Oktober 2017 – Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) memuji tindakan tiga anggotanya yang kekal bersikap profesional ketika menjalankan tugas meskipun berdepan dengan situasi tegang.

Merujuk kepada kes tiga anggota RELA yang dipukul individu dipercayai bergelar Dato’ Seri, Ketua Pengarah RELA, Zulkifli Abidin, berkata sikap sabar dan tidak mencetuskan tindak balas wajar dijadikan teladan kepada anggota lain.

Beliau berkata, walaupun tiga anggota terbabit diugut dan dikasari sehingga menyebabkan kecederaan, mereka masih mengamalkan tahap profesionalisme yang tinggi dan komited dalam melaksanakan khidmatnya.

Katanya, bagi menghargai komitmen dan komited pada tugas, anggota terbabit akan menerima Sijil Kepujian yang disampaikan beliau pada hari ini.

“Saya memuji dan menghargai tindakan tiga anggota kami yang sabar dan profesional ketika bertugas, apatah lagi ketika berdepan konflik sebegitu.

“Apa yang ditunjukkan mereka membuktikan anggota RELA sentiasa mempraktikkan nilai-nilai murni semasa berkhidmat selain sentiasa mengelak sebarang konfrontasi dengan orang awam.

“Cuma, saya sedikit kesal kerana insiden ini menunjukkan masih ada segelintir orang awam kurang faham dengan tugas anggota kami.

“Saya berharap perkara sebegini tidak lagi berulang pada masa depan.”

Pada 27 Oktober lalu, tiga anggota RELA yang sedang menjalankan tugas kawalan keselamatan bagi upacara keagamaan di Tokong Kou Ong Yah, Kampung Baru Ampang dikasari individu bergelar Dato’ Seri.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi, salah seorang daripada tiga anggota RELA berkenaan menegur Dato’ Seri terbabit kerana memberhentikan kenderaan di hadapan tokong itu sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, teguran anggota RELA yang bertugas supaya Dato’ Seri berkenaan mengalihkan kenderaan menyebabkannya beliau dan dua lagi anggota yang tampil untuk meredakan keadaan dipukul di beberapa bahagian badan.

Susulan daripada insiden itu, anggota RELA berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Ampang dan mendapat rawatan segera di hospital berdekatan.

 

JABATAN SUKARELAWAN MALAYSIA