KDN tidak kompromi soal peruntukan agensi penguatkuasaan

MELAKA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dalam soal peruntukan untuk agensi penguatkuasaan atau badan beruniform di negara ini terutama dalam pembentangan bajet akan datang kerana ia melibatkan isu keselamatan.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, peruntukan yang mencukupi penting bagi memastikan keselamatan negara sentiasa berada pada tahap terbaik dengan kemudahan dan peralatan yang mencukupi serta terkini.

“Kita memahami tindakan kerajaan dalam melaksanakan pelbagai langkah penjimatan termasuk menangguhkan, mengkaji semula dan membatalkan projek besar yang bukan menjadi keperluan atau terdesak dilaksanakan dalam situasi semasa negara yang menghadapi kekangan kewangan.

“Namun aspek keselamatan adalah penting terutama bagi Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Imigresen serta Polis Diraja Malaysia dan kita mengharapkan kerajaan menambah peruntukan kepada KDN untuk disalurkan kepada agensi penguatkuasaan ini supaya peranan mereka dapat diperkasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pentauliahan Bridged Rela Siswa (Relasis) Malaysia 2018 di Akademi Latihan Rela di sini, hari ini.

Menurutnya, bajet yang mencukupi juga penting kerana agensi penguatkuasaan di bawah KDN bukan sahaja menjaga keselamatan negara tetapi turut terlibat dalam pengurusan bencana.

“Kita tidak tahu bila bencana akan berlaku dan persediaan yang cukup termasuk dalam soal peruntukan penting bagi memastikan ia dapat diurus dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azis berkata, kerajaan sentiasa menggalakkan program kesukarelawan terutama dalam kalangan belia di negara ini sebagai usaha memastikan golongan itu terhindar daripada gejala sosial negatif sehingga menggugat keselamatan negara.

“Sebagai contoh matlamat Relasis ditubuhkan bertujuan melahirkan warga Rela di kalangan mahasiswa yang aktif, berkemahiran, berkaliber, berpendidikan, berintegriti, berdisiplin dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas.

“Bridged Relasis adalah salah satu inisiatif kerajaan bagi memperkukuh dan menyemarakkan lagi ‘gelombang kesukarelawan’ dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya anak muda berusia 18 hingga 30 tahun,” katanya.

Sementara itu. pada majlis berkenaan, 612 pelajar dari 24 institusi pengajian tinggi IPT negara menerima pentauliahan Relasis selain 33 kakitangan dan tenaga pengajar IPT menerima pingat Pegawai Bersekutu Relasis dan  30 lagi menerima pingat Pegawai Penyelaras Relasis.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN Datuk Seri Nadzri Siron dan Ketua Pengarah Rela Zulkifli Abidin.

http://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1643787