KDN tidak kompromi peruntukan agensi penguatkuasaan: Azis

MELAKA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dalam soal peruntukan untuk agensi penguatkuasaan atau badan beruniform di negara ini khususnya dalam pembentangan bajet akan datang kerana ia melibatkan isu keselamatan.

Timbalan Menterinya Datuk Mohd Azis Jamman berkata peruntukan yang mencukupi penting bagi memastikan keselamatan negara sentiasa berada pada tahap terbaik dengan kemudahan dan peralatan yang mencukupi serta terkini.

“Kita memahami tindakan kerajaan dalam melaksanakan pelbagai langkah penjimatan termasuk menangguh, mengkaji semula dan membatalkan projek besar yang bukan menjadi keperluan atau terdesak dilaksanakan dalam situasi semasa negara yang menghadapi kekangan kewangan.

“Namun aspek keselamatan adalah penting terutama bagi Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Imigresen serta Polis Diraja Malaysia dan kita mengharapkan kerajaan menambah peruntukan kepada KDN untuk disalurkan kepada agansi penguatkuasaan ini agar peranan mereka dapat diperkasa”, katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pentauliahan Bridged Rela Siswa (RELASIS) Malaysia 2018 di Akademi Latihan Rela di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, 612 pelajar dari 24 institusi pengajian tinggi IPT negara menerima pentauliahan Relasis selain 33 kakitangan dan tenaga pengajar IPT menerima pingat Pegawai Bersekutu RELASIS dan  30 lagi menerima pingat Pegawai Penyelaras RELASIS.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN Datuk Seri Nadzri Siron dan Ketua Pengarah Rela Zulkifli Abidin.

Mengulas lanjut, Mohd Azis berkata bajet yang mencukupi juga penting kerana agensi penguatkuasaan di bawah KDN bukan sahaja menjaga keselamatan negara tetapi turut terlibat dalam pengurusan bencana.

“Kita tidak tahu bila bencana akan berlaku dan persediaan yang cukup termasuk dalam soal peruntukan penting bagi memastikan ia dapat diurus dengan baik,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan sentiasa menggalakkan program kesukarelawan khususnya di kalangan belia di negara ini dalam usaha memastikan mereka terhindar daripada gejala sosial yang negatif sehingga menggugat keselamatan negara selain memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.

Katanya sebagai contoh matlamat Relasis ditubuhkan bertujuan melahirkan warga Rela di kalangan mahasiswa yang aktif, berkemahiran, berkaliber, berpendidikan, berintegriti, berdisiplin dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas.

“Bridged Relasis merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi memperkukuh dan menyemarakkan lagi ‘gelombang kesukarelawan’ dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya anak muda berusia 18 hingga 30 tahun,” katanya. — Bernama

https://www.utusanborneo.com.my/2018/09/23/kdn-tidak-kompromi-peruntukan-agensi-penguatkuasaan-azis