Jejak mesej unsur ganas

Putrajaya: Pusat Digital Serantau Memintas Komunikasi (CMC) beroperasi sepenuhnya sejak sebulan lalu bagi menjejak dan bertindak ke atas mesej berunsur keganasan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pusat itu tidak bergerak dan beroperasi sendiri sebaliknya diselaras bersama agensi lain.

Beliau berkata, CMC yang diselia Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) di bawah Kementerian Luar bagi mengesan suspek yang terbabit aktiviti keganasan.

“CMC dan SEARCCT bekerjasama dengan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP),” katanya ketika ditemui media pada Majlis Kenduri Rakyat Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di sini, semalam.

Katanya, semua maklumat yang diterima menerusi CMC bukan hanya disalurkan kepada Aseanapol (Polis Asean) malah Interpol (Polis Antarabangsa) supaya senarai suspek atau data diperoleh digunakan untuk kesiapsiagaan di peringkat antarabangsa.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan CMC kerana mampu memperkukuhkan sistem keselamatan negara sedia ada malah, ia terbukti membawa kepada penangkapan suspek sebelum ini.

https://www.hmetro.com.my/setempat/2018/01/306933/jejak-mesej-unsur-ganas