Ingatan kepada pemilik senjata api

Ingatan kepada pemilik senjata api

 

KAMPUNG RAJA – Polis menasihatkan pemilik senjata api persendirian mahupun agensi atau  penguatkuasa jabatan kerajaan lain supaya mengendalikan senjata api masing-masing dengan cermat untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd  Zamri Mohd Rowi berkata, kesemua pemilik  400 laras senjata api yang sehagian besarnya  senapang patah dan selebihnya pistol perlu sentiasa pastikan senjata mereka berada dalam keadaan selamat.

Menurutnya, kecuaian boleh menyebabkan kecederaan serius  atau kehilangan nyawa orang lain mahupun diri sendiri.

“Terdapat kira-kira 300 pemilik senjata api persendirian dan 98 orang senjata anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (Rela) dan beberapa agensi lain di daerah ini.

“Muncung laras senjata tidak dihalakan ke arah individu lain atau diri sendiri, di samping pin kunci keselamatan senjata sentiasa berada berkunci untuk mengelak kejadian meletup tanpa kawalan ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ujian kemahiran menembak sempena Program Memperbaharui Lesen Senjatapi Persendiran bagi tahun 2018 / 2019 di Lapang Sasar Lembah Bidong.

Mohd Zamri berkata, mereka yang didapati cuai menggunakan senjata boleh diambil tindakan undang-undang termasuk senjata dirampas.

Menurutnya, bulan lepas terdapat satu kejadian tertembak rakan sendiri namun tidak melibatkan kematian di daerah ini dan kejadian sama perlu dielakkan.

“Beliau turut menasihatkan pemilik senjata api supaya menyimpan senjata di tempat selamat supaya senjata terbabit tidak ‘jatuh’ kepada pihak tidak bertanggungjawab atau terhindar daripada kanak-kanak,” katanya.

Mohd Zamri turut memberi amaran supaya pemilik senjata tidak menggunakan senjata selain daripada syarat yang dibenarkan seperti memburu, dipinjamkan kepada pemilik bukan berlesen  dan sebagainya.

Menurutnya, polis juga mengarahkan pemilik senjata api berusia 60 tahun ke atas perlu  menjalani pemeriksaan kesihatan dan menghantar laporan perubatan terkini bagi memastikan mereka masih layak menggendalikan senjata atau sebaliknya.

“Sekiranya laporan perubatan mendapati mereka mempunyai masalah kesihatan serius seperti penglihatan kabur dan masalah fizikal menyebabkan lesen mereka tidak disambung kerana ia berbahaya kepada orang lain dan pemilik sendiri,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/ingatan-kepada-pemilik-senjata-api-1.825809