Individu dikesan jual pangkat kehormat Rela pada harga RM10,000 hingga RM30,000

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan bahawa Jabatan Sukarelawan Rela (Rela) mengesan seorang individu menjual pangkat kehormat Rela pada harga antara RM10,000 hingga RM30,000.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, penjualan pangkat kehormat Rela itu dibuat kepada mereka yang mahu memberi khidmat kesukarelawanan kepada Rela.

Beliau menjelaskan bahawa jawatan kehormat Rela hanya boleh diberikan apabila jawatankuasa memutuskan kelayakan seseorang berdasarkan kepada status sosial atau lain-lain kelayakan mengikut Akta Rela.

“Kami telah mendapat bukti kerana orang yang membayar dengan jumlah puluhan ribu membuat aduan kepada Ibu Pejabat Rela.

“Kami ada bukti resit dan bukti pembayaran yang dilakukan. Bagi mereka yang membayar untuk jawatan kehormat ini, sila tampil dan membuat laporan. Tindakan perundangan akan diambil,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini. – Bernama

http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0511&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_19.htm