Individu Dikesan Jual Pangkat Kehormat Rela Dengan Harga RM10,000 – RM30,000 – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 11 Mei (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan bahawa Jabatan Sukarelawan Rela (Rela) mengesan seorang individu menjual pangkat kehormat Rela dengan harga antara RM10,000 hingga RM30,000.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata penjualan pangkat kehormat Rela itu dibuat kepada mereka yang mahu memberi khidmat kesukarelawanan kepada Rela.

Beliau menjelaskan bahawa jawatan kehormat Rela hanya boleh diberikan apabila jawatankuasa memutuskan kelayakan seseorang berdasarkan kepada status sosial atau lain-lain kelayakan mengikut Akta Rela.

“Kami telah mendapat bukti kerana orang yang membayar dengan jumlah puluhan ribu membuat aduan kepada Ibu Pejabat Rela.

“Kami ada bukti resit dan bukti pembayaran yang dilakukan. Bagi mereka yang membayar untuk jawatan kehormat ini, sila tampil dan membuat laporan. Tindakan perundangan akan diambil,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata individu yang “tidak sangat berpengaruh” juga didapati menjual sijil dan kad Rela yang tidak dikeluarkan Ibu Pejabat Rela.

Ditanya berapa kes telah dilaporkan kepada Jabatan Rela, beliau berkata “tidak kurang daripada 20 kes”.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata sistem pergiliran setiap tiga bulan, telah dapat mengurangkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawai dan pasukan penguat kuasa khususnya di sempadan.

“Kami mendapati sejak sistem pergiliran dilaksanakan, mereka yang berada di sempadan (bertugas) tidak lebih daripada tiga bulan, dan digantikan pasukan lain supaya dalam kalangan mereka tidak mengenali penyeludup atau penjenayah.

“Saya tidak akan melindung mana-mana pegawai atau kakitangan yang menyalah guna kuasa atau terlibat aktiviti rasuah,” katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut melancarkan kad kuasa, lencana kad kuasa dan lencana poket Jabatan Imigresen.

Penggunaan sistem pengurusan kad kuasa yang dikenali sebagai Identification Management System membolehkan kad kuasa diimbas orang awam dengan menggunakan quick response code (QR Code) yang terdapat pada telefon pintar.

Kad kuasa baharu ini juga dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan ‘overt dan covert’ yang disahkan Pejabat Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO).

— BERNAMA

 

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1354976