Sunday, 25 August 2019

Rela kawal sempadan

Dr. Ahmad Zahid Hamidi diiringi Musa Aman diberi sambutan mesra oleh anggota Rela pada majlis sambutan Hari Rela Kebangsaan Ke-45 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah,

KOTA KINABALU 11 Feb. – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang ditubuhkan pada tahun 1972 bukan lagi sekadar membantu kelancaran majlis perkahwinan atau keramaian semata-mata, sebaliknya telah diperkasakan untuk menjadi benteng ketiga dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, dalam usaha mempertahankan kedaulatan, maka Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menggunakan khidmat anggota Rela sebagai pasukan sokongan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Beliau berkata, langkah tersebut yang telah dipersetujui Kementerian Dalam Negeri akan mengukuhkan lagi kawalan oleh pasukan penguat kuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dalam memastikan sempadan negara sepanjang 1,700 kilometer tidak dibolosi.

“Kita akan membantu Esscom yang diletakkan di bawah MKN untuk kesiapsiagaan di kawasan sepanjang 1,700 kilometer ini dengan bantuan Rela. Jumlah anggota yang diperlukan akan dibincangkan oleh kementerian.

“Rela akan digunakan sebagai pasukan tambahan. Kuasa menangkap masih berada pada pihak polis dan mengikut akta MKN, pihak kementerian pun boleh lakukan penahanan, jus­teru Rela akan bantu polis dan tentera untuk penguatkuasaan undang-undang di sana,” katanya dalam sidang akhbar selepas me­rasmikan majlis sambutan Hari Rela Kebangsaan Ke-45 bertemakan ‘Rela Demi Negaraku’ di Padang Merdeka di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Rela, Zulkifli Abidin.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut memakaikan pangkat Ketua Pesuruhjaya Kehormat Rela kepada Musa dalam majlis tersebut yang diserikan dengan persembahan nyanyi­an oleh penyanyi terkenal tanah air, Hattan dan Nash.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan sebanyak RM12 juta dalam tempoh dua tahun diberikan kepada Rela Sabah bagi mendapatkan kelengkapan seragam untuk 40,000 anggota di negeri ini yang belum menerimanya.

Selain itu, menurutnya, kerajaan negeri telah menyediakan sebidang tanah berkeluasan lapan hektar di Sandakan yang akan dibangunkan pusat latihan Rela negeri.

“Peruntukan ini adalah RM6 juta daripada kerajaan negeri dan RM6 juta lagi melalui kementerian. Sebanyak RM6 juta itu akan diberikan tahun ini, manakala RM6 juta lagi tahun hadapan bagi memastikan 40,000 lagi anggota Rela mendapat uniform.

“Peruntukan ini adalah komitmen kerajaan bagi memperkasakan Rela, jika dulu kita diperlekehkan sebagai hanya menjaga majlis perkahwinan dan bantu polis kawal lalu lintas, kini kita boleh berbangga sebagai anggota yang sedia berbakti demi kedaulatan negara,” katanya.

– Utusan Online