Sunday, 18 August 2019

Rakyat Korea Utara dikenakan visa – TPM

 

PUTRAJAYA 2 Mac – Kementerian Dalam Ne­geri (KDN) akan menguatkuasakan penggunaan visa terhadap rakyat Korea Utara yang mahu memasuki Malaysia atas faktor keselamatan bermula Isnin ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam soal keselamatan, kerajaan berpendirian rakyat dan negara ini tidak boleh diletakkan dalam keadaan berbahaya, jus­teru langkah tegas perlu diambil segera.

“Kerajaan bertindak tegas, pendirian kita tegas dan kita mem­beri jaminan bahawa rakyat negara ini berada dalam keadaan selamat,” katanya selepas me­nyampaikan Anugerah Perkhid­matan Cemerlang kepada 357 pegawai dan kakitangan KDN di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setia­usaha Kementerian Dalam Ne­geri, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ke­tua Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Zulkifli Abidin.

Ahmad Zahid berkata demi­kian ketika diminta mengulas desakan pelbagai pihak yang mahu kerajaan menyemak semula ke­perluan mengenakan visa terhadap rakyat Korea Utara untuk memasuki Malaysia.

Gesaan itu dibuat bagi meng­elakkan kejadian jenayah seperti yang berlaku ke atas abang pe­mimpin Korea Utara, Kim Jong-nam berulang.

Difahamkan sebelum ini rak­yat Korea Utara yang mahu ke Malaysia tidak perlu menggunakan visa bagi tempoh 30 hari selepas kedua-dua negara memeterai satu perjanjian pengecualian visa pada April 2000.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Ne­geri berkata, langkah itu akan diwartakan dan dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen pada tarikh tersebut.

Beliau turut mengingatkan Ko­rea Utara supaya tidak membuat tuduhan melulu terhadap Malaysia berhubung siasatan kes kematian Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), 13 Februari lalu.

Menurutnya, adalah tidak adil bagi negara tersebut membuat tuduhan bahawa kononnya Malaysia bersekongkol dengan negara atau organisasi lain dalam kes kematian Jong-nam.

– UTUSAN

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rakyat-korea-utara-8232-dikenakan-visa-8211-tpm-1.451504