Perluas program RELASIS ke IPTS

Perluas program RELASIS ke IPTS

 

MERLIMAU 29 Sept. – Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) berhasrat memperluaskan program Briged Rela Siswa Siswi (RELASIS) ke peringkat institut pengajian tinggi swasta (IPTS) tidak lama lagi.

 

 

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Jamil Rakon berkata, penubuhan badan beruniform itu kini hanya tertumpu di politeknik, institusi kemahiran dan beberapa universiti awam.

“Program Briged RELASIS ini belum lagi diwujudkan di IPTS. Namun kita memasang harapan untuk memperluaskan aktiviti ini ke sana kelak.

“Usaha ini selaras dengan misi RELA yang mensasarkan peningkatan ahli saban tahun termasuk penyertaan dalam kalangan Briged RELASIS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Pentauliahan Briged RELASIS Malaysia 2019 di Politeknik Merlimau, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah RELA, Zulkifli Abidin dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohammad Naim Yaakub.

Menurut Jamil, setakat ini, program berkenaan terus mendapat sambutan baik dalam kalangan pelatih Briged RELASIS di seluruh negara selepas diwujudkan di institut berkenaan sejak 2010.

“Penubuhan badan beruniform ini merupakan platform awal bagi golongan belia yang terdiri daripada pelbagai kaum menjadi satu kumpulan yang kuat.

“Saya menyambut baik usaha RELA Malaysia meningkatkan kualiti Briged RELASIS dengan inisiatif yang diperkenalkan baru-baru ini antaranya membuat pentauliahan dan menambah baik syarat-syarat pengambilan,” katanya.

Terdahulu, seramai 272 orang pelatih dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) menerima tauliah selain pemakaian pangkat bersekutu kepada 36 penerima dan dua penganugerahan Pingat Am RELA.

Mengulas mengenai harapan RELA terhadap Belanjawan 2020, Jamil berharap pihak kerajaan mempertimbangkan tuntutan bagi tahun depan bagi menjalankan pelbagai program yang dirancang.

 

https://melakakini.my/perluas-program-relasis-ke-ipts/#.XY-VqeMeVHN.whatsapp