Pembebasan Yazid Sufaat: Tunggu Lembaga bersidang – Muhyiddin

LEMBAGA Pencegahan Terorisme akan bersidang dalam masa terdekat sebelum membuat keputusan berhubung pembebasan anggota militan warga Malaysia, Yazid Sufaat.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, biarpun tempoh penahanan dua tahun lelaki itu dilakukan mengikut Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan dijangka tamat bulan depan, namun lembaga berkenaan perlu bersidang bagi mendengar kes berkenaan sebelum memutuskan sebarang arahan pembebasan.

“Saya belum dapat keputusan muktamad lagi, baru semak tadi, katanya tempoh tahanan dua tahun bawah undang-undang POTA akan tamat tidak lama lagi.

“Walaupun sudah putuskan tempoh itu sudah sempurna dan kemungkinan tahanan akan dibebaskan, tetapi saya tidak boleh buat keputusan itu sebelum lembaga bersidang.

“Lembaga akan bersidang dan mendengar kes ini tidak berapa lama lagi sebelum tempoh tahanan itu tamat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Pontian Bersama Pemimpin di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Jamil Rakon dan Ketua Pengarah RELA Malaysia, Zulkifli Abidin.

Muhyiddin berkata, Lembaga Pencegahan Terorisme itu akan bersidang dan meneliti keadaan yang berlaku sepanjang tempoh tahanan, sama ada terdapat tambah baik atau tahanan berubah atau tidak.

“Nanti keadaan itu akan diberitahu ketika bersidang, kemudian baru keputusan dibuat,” katanya.

Yazid, 55, dikatakan mempunyai kaitan langsung dengan serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat dan sebagai ahli biokimia yang mendapat latihan di AS, lelaki itu disifatkan sebagai pengganas tegar.

Dia kini ditahan di penjara Simpang Renggam, Kluang, selama dua tahun di bawah POTA yang mana akta berkenaan membenarkan dia ditahan tanpa dibicarakan selama dua tahun.