Nasib Yazid Sufaat akan diputuskan Lembaga Pencegahan Keganasan

MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bergambar bersama pegawai dan anggota RELA pada program Ramah Mesra bersama Warga Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Dewan Jubli Intan, Pontian, hari ini. – Foto Zain Ahmed

PONTIAN: Kerajaan akan menunggu keputusan Lembaga Pencegahan Keganasan sebelum memutuskan tindakan lanjut ke atas Yazid Sufaat, anggota militan warga Malaysia, yang dijangka dibebaskan daripada tahanan selama dua tahun di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA), bulan depan.

Kementerian Dalam Negeri sudah maklum dengan tempoh penahanan Yazid dan sedang meneliti perkara itu sebelum membuat keputusan untuk melakukan tindakan susulan.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan Lembaga Pencegahan Keganasan juga akan meneliti daripada semua aspek keadaan Yazid sepanjang tempoh tahanan, termasuk kelakuan dan sama ada dia sudah insaf sepenuhnya atau tidak sebelum keputusan muktamad dibuat.

“Kita ada prosedur sebelum keputusan muktamad dibuat.

“Saya tidak boleh memberikan apa-apa ulasan atau kata putus sama ada penahanan diteruskan atau dibebaskan selagi Lembaga Pencegahan Keganasan belum bersidang dan memaklumkan keputusan mereka, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Ramah Mesra bersama Warga Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Dewan Jubli Intan, di sini, hari ini.

Turut hadir, isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Jamil Rakon dan Ketua Pengarah RELA, Zulkifli Abidin.

Semalam media antarabangsa melaporkan, Yazid, 55, anggota militan warga Malaysia yang didakwa mempunyai kaitan langsung dengan serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat (AS) mungkin dibebaskan daripada tahanan bulan depan.

Laporan itu menyatakan kemungkinan pembebasannya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pegawai antiterorisme di negara ini.

Yazid 55, ahli biokimia yang mendapat latihan di AS itu kini ditahan di penjara Simpang Renggam, Kluang, selama dua tahun di bawah POTA.

Akta berkenaan membenarkan suspek ditahan tanpa dibicarakan selama dua tahun.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/10/619380/nasib-yazid-sufaat-akan-diputuskan-lembaga-pencegahan-keganasan