Sunday, 15 December 2019

  • Home
  • /
  • news
  • /
  • 581 pegawai, anggota Rela lafaz IBR

581 pegawai, anggota Rela lafaz IBR

 

PUTRAJAYA 11 April – Sebanyak 581 pegawai dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) menandatangani dan melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

ZULKIFLI ABIDIN
ZULKIFLI ABIDIN

Ketua Pengarah Rela, Zulkifli Abidin mendahului kumpulan tersebut dengan disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad.

Sementara itu, Alwi berkata, elemen integriti perlu dititikberatkan bagi mengelak amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan perkara-perkara yang boleh mencemarkan reputasi sesebuah organisasi.

“Isu integriti perlu dilihat dalam konteks lebih luas. Ia bukan sahaja fokus kepada isu-isu rasuah malah meliputi konsep lebih besar dalam membentuk budaya kerja yang mampan dalam sesebuah organisasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Alwi sebelum itu menghadiri Konvensyen Pegawai Rela sempena majlis menandatangani dan melafazkan IBR.

Dalam majlis itu, buku Pelan Integriti Organisasi (PIO) Rela 2.0 diserahkan kepada para pegawai Rela di seluruh negara.

Dalam pada itu. Zulkifli memberitahu, konvensyen tersebut diadakan bertujuan memantapkan tadbir urus Rela sebagai sebuah agensi kerajaan yang bebas daripada sebarang anasir rasuah.

Katanya, penganjuran konvensyen tersebut amat bertepatan dengan usaha untuk memastikan integriti pegawai serta anggota Rela sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Tambah beliau, dalam tempoh hampir enam bulan selepas mengambil alih jawatan sebagai Ketua Pengarah Rela, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi mengukuhkan tahap integriti dalam kalangan pegawai, kakitangan dan anggota Rela.

“Antaranya penerapan nilai-nilai murni kepada pegawai dan anggota melalui latihan dan amalan kerja harian serta pemerkasaan amalan integriti di peringkat daerah dan anggota.

“Selain itu, PIO Rela 2.0 yang digubal bersama Institut Integriti Malaysia menggariskan enam strategi utama. Pelan ini diyakini dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam sekali gus menaikkan nama Rela.

http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kl-putrajaya/581-pegawai-anggota-rela-lafaz-ibr-1.467943