Monday, 16 July 2018

Elaun anggota, pegawai Rela naik

Anggota Rela bersorak kegembiraan apabila Najib mengumumkan kenaikan elaun mereka hari ini.

SERDANG – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kenaikan elaun anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) daripada RM6 kepada RM8 sejam manakala RM7.80 kepada RM9.80 sejam bagi pegawai.

Beliau berkata, kenaikan elaun yang akan memberi manfaat kepada lebih 3.05 juta anggota dan pegawai Rela di seluruh negara itu adalah bagi menghargai jasa dan kesetiaan mereka sebagai benteng kedua keselamatan negara.

Najib yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk pembelian uniform digital pasukan Rela sebagai tambahan kepada peruntukan RM100 juta yang diumumkan sebelum ini.

“Tadi Timbalan Perdana Menteri (yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) bisik kepada saya alangkah cantiknya jika peruntukan RM100 juta sebelum ini ditambah lagi RM20 juta.

“Maka dalam perhimpunan ini, mengambil kira kesetiaan tuan-tuan, saya tambah lagi RM20 juta, memandangkan hanya 550,000 daripada tiga juta anggota Rela yang memiliki uniform digital,” katanya pada Sambutan Ulang Tahun Ke-46 Rela¬† peringkat kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), di sini hari ini.

Najib turut membayangkan tambahan peruntukan akan terus diberikan kepada pasukan Rela jika kerajaan Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat memimpin negara selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang. – Bernama

http://www.kosmo.com.my/terkini/elaun-anggota-pegawai-rela-naik-1.624722

Font Resize
Contrast