‘Datuk Seri’ serang Rela didakwa guna dadah

KUALA LUMPUR – Ahli Perniagaan yang didakwa menyerang anggota Rela minggu lalu, sekali lagi di hadapkan ke mahkamah atas tuduhan ujian air kencing mengandungi dadah jenis syabu, tiga tahun lalu.

Liow Soon Hee, 29, mengaku tidak bersalah.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di tandas Ibu Pejabat Daerah Wangi, jam 9.40 malam pada 1 Februari 2014.

Timbalan Pendakwa Raya Akmal Anuar mengemukakan pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara dua tahun dan dikenakan perintah pengawasan tidak melebihi tiga tahun.

Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Disember depan untuk sebutan semula.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki yang bergelar datuk seri itu melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap bulan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Ampang, Soon Hee didakwa menggunakan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Ampang Jaya, 5 petang pada 30 Oktober lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pukul Rela: ‘Datuk Seri’ positif dadah]

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak.

Majistret, Haslinda A Rauf membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Disember untuk sebutan semula kes.

http://www.sinarharian.com.my/semasa/datuk-seri-serang-rela-didakwa-guna-dadah-1.753188