BAJET 2019: TAMBAH PERUNTUKAN PASUKAN BERUNIFORM

MELAKA TENGAH – Kementerian Dalam Negeri berharap kerajaan memberikan keutamaan terhadap pasukan beruniform dan penguatkuasaan di bawah kementerian itu pada Bajet 2019 yang bakal dibentangkan di Parlimen November depan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, meskipun memahami kerajaan mengambil langkah penjimatan dan menerima hakikat kekangan kewangan pada hari ini, namun dalam aspek keselamatan ia tiada kompromi.

“Saya memahami kerajaan mengambil langkah penjimatan termasuk mengkaji semula semua projek-projek pembangunan yang kurang mendesak, walaupun begitu dalam aspek keselamatan kita tidak boleh berkompromi termasuk dalam kes bencana, kerana kita tidak tahu bila bencana akan berlaku.

“Justeru, pada bajet akan datang saya berharap kerajaan dapat menambah peruntukan agar dapat disalurkan kepada beberapa agensi keselamatan seperti Polis, Imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian di dalam sidang media sempena Majlis Pentauliahan Briged Rela Siswa Siswi (Relasis) 2018 di Akademi Latihan Rela Malaysia (ALARM) di Sungai Udang di sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Nadzri Siron, Ketua Pesuruhjaya Rela (KPjR) merangkap Ketua Pengarah Rela Malaysia, Zulkifli Abidin dan ketua-ketua jabatan di bawah KDN.

Seramai 612 pelajar dari Universiti dan Politeknik seluruh negara telah diberikan pentauliahan sebagai Relasis dalam usaha untuk memupuk semangat kesurelawanan di kalangan mahasiswa.

Beliau berkata, kerajaan akan mempergiatkan usaha mempromosi bagi menggalakkan lebih ramai pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam  menyertai pasukan sukarelawan beruniform seperti Rela.

“Kita yakin usaha ini dapat membantu negara bukan sahaja dari segi keselamatan tetapi juga dapat mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat, disamping memupuk nilai-nilai sukarelawan.

“Sebagai sebuah negara pelbagai kaum, ini juga dapat membantu bukan sahaja aspek kemasyarakatan tetapi juga dapat membanteras gejala sosial,” katanya.

 

http://www.karangkraf.com/mobile/berita/bajet-2019-tambah-peruntukan-pasukan-beruniform-1.882776#.W6be5t8nt-g.whatsapp