Anggota RELA bukan petugas barisan hadapan ESSZONE

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang selepas menghadiri majlis Kenduri Rakyat RELA di Putrajaya, hari ini. Turut hadir, Datuk Nur Jazlan Mohamed (kiri) dan Datuk Masir Kujat. – Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) ditugaskan sebagai pasukan bantuan, bukan terbabit dalam sebarang operasi taktikal atau penugasan di barisan hadapan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata anggota RELA yang dipilih bertugas di ESSZONE bagaimanapun tetap diberikan latihan dan kursus termasuk kursus khas oleh pelbagai agensi keselamatan berkaitan.

Beliau berkata, ia bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan baik.

Katanya, kemampuan dan risiko yang dihadapi mereka juga sudah diperincikan oleh Lembaga Penasihat ESSZONE.

“Penugasan itu sesuai dengan peranan RELA sebagai benteng pertahanan kedua yang menjaga keselamatan setempat melalui rondaan komuniti dan penyaluran maklumat.

“Kerajaan sangat mengetahui tahap keselamatan dan bentuk ancaman dalam ESSZONE dan tidak akan menugaskan anggota RELA di situ tanpa mengambil kira semua risiko,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis Kenduri Rakyat Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah RELA, Zulkifli Abidin.

Nur Jazlan mengulas tuduhan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal sebelum ini yang mempersoalkan kredibiliti dan memperlekeh peranan anggota RELA yang ditugaskan di ESSZONE.

Shafie dilapor mempertikaikan tindakan menempatkan anggota RELA yang tidak mahir mengendalikan senjata api untuk penugasan di kawasan berkenaan dan menyatakan anggota RELA hanya sesuai untuk kawalan trafik pada majlis kenduri.

Nur Jazlan berkata, kenyataan Ahli Parlimen Semporna itu menyinggung perasaan tiga juta anggota RELA.

Katanya, dakwaan Shafie kononnya peruntukan RM6 juta untuk RELA dan tanah bagi pembinaan Pusat Latihan RELA kedua di Sabah hanya diluluskan selepas bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu bersuara, adalah tidak benar.

“Kelulusan berkenaan sudah diumumkan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman semasa sambutan Hari Ulang Tahun RELA Ke-45 pada 11 Februari tahun lalu di Kota Kinabalu.

“Peruntukan itu disalurkan dalam dua peringkat, RM3 juta pada tahun lalu, manakala RM3 juta lagi pada tahun ini. Tapak untuk pusat latihan pula sedang dalam proses untuk dimuktamadkan,” katanya.