Ahli Parlimen perlu turut bantu Rela: Zahid

Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bergambar dengan Anggota Parlimen pada Majlis Pemakaian Pangkat Kehormat Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) kepada Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) di Dewan Matrade, malam ini. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyeru semua Ahli Parlimen memberikan sumbangan peribadi mereka untuk membeli pakaian seragam anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di kawasan parlimen masing-masing.

Timbalan perdana menteri berkata kerajaan telah memperuntukkan RM154 juta bagi pembelian pakaian seragam kepada anggota jabatan itu sebelum ini tetapi dilihat masih tidak mencukupi.

“Kita ketahui bahawa jumlah anggota Rela kini seramai 3.24 juta orang. Ini suatu jumlah yang besar maka saya seru Anggota Parlimen bantu kerajaan, beri sedikit sumbangan.

Apabila Ahli Parlimen berbuat demikian maka anggota Rela di kawasan masing-masing akan lebih bersemangat,” katanya pada Majlis Pemakaian Pangkat Kehormat RELA kepada Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) di sini hari ini.

Sejumlah 122 Ahli Parlimen BN menerima pangkat kehormat Rela sebagai mengiktiraf peranan mereka mendokong semangat kesukarelaan sekali gus mencurahkan khidmat bakti kepada rakyat.

Ahli Parlimen yang menerima pangkat tersebut adalah Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Dr Mary Yap Kain Ching (Tawau), Datuk Koh Nai Kwong (Alor Gajah) dan Datuk Henry Sum Agong (Lawas).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berharap kesemua penerima pangkat berkenaan dapat bersama-sama kerajaan dalam meningkatkan keyakinan dan jangkaan rakyat.

“Apabila diberi pangkat ia bererti kita telah diberi kuasa di bawah Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 untuk melaksanakan tugas,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Rela perlu mengekalkan imej sebagai sebuah jabatan yang berbeza daripada jabatan lain dari segi pengurusan perbelanjaan.

“Walaupun Rela telah dinaik taraf sebagai sebuah jabatan penuh, namun Rela tidak pernah menambah jawatan atau peruntukan untuk sebarang aktiviti. Ini perbezaan Rela dengan jabatan lain,” katanya.

Ahmad Zahid berkata Rela dengan jayanya telah memainkan peranannya dengan berkesan dan terus diberi kepercayaan membantu menjaga keselamatan, keamanan dan kesejahteraan negara. –Bernama

– Sinar Online

http://www.sinarharian.com.my/nasional/ahli-parlimen-perlu-turut-bantu-rela-zahid-1.639887