Sunday, 22 October 2017

  • Home
  • /
  • news
  • /
  • 500 Rela ditugaskan jaga keselamatan di Esszone

500 Rela ditugaskan jaga keselamatan di Esszone

ESSZONE

TIMBALAN Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (enam kiri) bersama Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman (tujuh kanan) bergambar kenangan ketika hadir pada Mesyuarat Lembaga Penasihat bagi Esszone di Ibu Pejabat Esscom hari ini. – UTUSAN/Irwan Majid

LAHAD DATU 29 Sept. – Mesyuarat Lembaga Penasihat Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) meluluskan penglibatan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sebagai barisan kedua dalam menjaga keselamatan di sempadan negeri ini daripada diceroboh oleh anasir luar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak 500 anggota Rela terlibat dalam projek perintis itu yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Beliau yang juga Pengerusi jawatankuasa itu bagaimanapun berkata, pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) masih berperanan sebagai pasukan utama dalam mengawal sempadan negara.

“Ini adalah langkah kerajaan Pusat untuk memastikan keselamatan di Sabah terutama di kawasan pelancongan kerana sasaran kerajaan negeri adalah mencatatkan sebanyak satu juta pelancong dari China datang ke sini.

“Rela akan bertugas selama 24 jam di kawasan-kawasan tertentu, namun penguatkuasaan utama masih lagi di bawah agensi keselamatan yang telah dilantik selaras dengan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat itu di Ibu pejabat Esscom di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri merangkap Pengerusi bersama jawatankuasa itu, Tan Sri Musa Aman; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim; Ketua Pengarah MKN, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin; Komander Esscom Datuk Hazani Ghazali dan Ketua Pengarah Rela, Zulkifli Abidin.

Ahmad Zahid berkata, kesemua 121,888 anggota Rela seluruh negeri akan terlibat dalam penugasan berkenaan secara berperingkat selepas mereka menjalani latihan sewajarnya terutama dalam aspek penguatkuasaan undang-undang. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/500-rela-ditugaskan-jaga-keselamatan-di-esszone-1.532102#ixzz4uK29ZsIN
© Utusan Melayu (M) Bhd

 

Font Resize
Contrast